
Penyampaian Sumbangan Dana Tahunan Masjid/Surau dan Dana Sambutan Ramadan bagi kawasan DUN Demak Laut.
KUCHING: Sebanyak RM521,000 telah disumbangkan kepada 32 masjid dan surau dalam majlis penyampaian Sumbangan Dana Tahunan Masjid/Surau dan Dana Sambutan Ramadan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.
Majlis penyampaian sumbangan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.
Beliau berharap agar sumbangan tersebut dapat membantu pengurusan masjid dan surau serta memperkasakan aktiviti keagamaan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Semoga sumbangan ini memberi manfaat serta keberkatan kepada kita semua, terutamanya dalam menyambut Ramadan al-Mubarak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut.
Setiap masjid menerima RM18,000, manakala setiap surau menerima RM13,000.
Selain itu, sebagai persediaan menyambut bulan suci Ramadan 2025, setiap masjid dan surau turut menerima dana tambahan sebanyak RM3,000 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen pihak kerajaan dalam menyokong institusi keagamaan serta memperkukuh semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk setempat.