

GOTONG-ROYONG… Penduduk Kampung Kelait dan Kampung Sangki berganding bahu melaksanakan program gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Kampung Kelait, Ketimbong semalam.
SEBUYAU: Seramai 30 penduduk dari Kampung Kelait dan Kampung Sangki berganding bahu melaksanakan program gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Kampung Kelait, Ketimbong di sini, semalam.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu diketuai oleh Tuai Rumah Junau Dugi dari Kampung Kelait dan Tuai Rumah Ngipa Ngindang dari Kampung Sangki.
Aktiviti yang dijalankan termasuk menebas semak samun, mengutip sampah dan menyembur racun rumpai di sekitar kawasan tanah perkuburan, bertujuan memastikan persekitaran yang bersih, terpelihara dan lebih teratur.
Tuai Rumah Junau berkata, penglibatan aktif penduduk dalam program ini mencerminkan semangat bergotong-royong yang masih utuh dalam kalangan masyarakat.
“Saya amat berbesar hati melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan. Harapan saya agar usaha sebegini dapat diteruskan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Ngipa berkata, program seumpama ini akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan bagi memastikan kawasan perkuburan sentiasa bersih dan terpelihara.
“Perancangan untuk gotong-royong akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui JKKK masing-masing selepas sesi perbincangan bersama,” katanya.
Program ini bukan sahaja mencerminkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan kebersihan kawasan perkuburan, malah turut berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat.
Tuai Rumah Junau turut menggesa agar masyarakat terus mengekalkan kebersihan dan menghormati kawasan perkuburan sebagai tanda penghargaan kepada generasi terdahulu.
Oleh Tarani Lanting