KUCHING: Seramai 30 orang ‘rider e-hailing’ telah menghadiri taklimat Program TEKUN Mobilepreneur 2.0 diadakan semalam bertempat di Pejabat TEKUN Negeri Sarawak.
Program tersebut diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui TEKUN Nasional untuk menyediakan bantuan modal kepada individu yang kehilangan sumber pendapatan pekerjaan akibat terkesan daripada wabak Covid-19 untuk menjadi ‘rider penghantar’ bagi syarikat penghantaran makanan dan barangan.
Program TEKUN Mobilepreneur 2.0 yang akan dilancarkan 7 Julai nanti dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM10,000 bertujuan untuk pembelian motosikal baru dan modal pusingan bagi ‘rider’ yang telah berdaftar dengan syarikat ‘e-hailing’.
Semua rider e-hailing yang menepati syarat boleh mula memohon skim ini dengan had kelulusan permohonan kepada 500 ‘rider’ sahaja.
Selaras dengan itu, Pejabat TEKUN Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan taklimat kaedah permohonan program tersebut kepada rider e-hailing.
Sesi taklimat seterusnya akan diadakan pada 3 Julai ini juga terbuka kepada 30 orang dan mereka yang berminat untuk mengikuti taklimat ini boleh menghubungi Pejabat TEKUN Negeri Sarawak di talian 082 – 232 416 atau 082 – 428 176.
Selain itu, satu lagi program iaitu TEKUN Mobilepreneur 1.0 yang diwujudkan pada awal April merupakan skim pembiayaan tanpa faedah kepada ‘rider penghantar’ dengan nilai pembiayaan maksimum sehingga RM2,000.00 untuk mereka memiliki motorsikal dan bertujuan membaiki motorsikal serta memasang tambahan aksesori.
Sehingga kini, seramai 215 pemohon (rider) telah diluluskan pemohonan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM402,000.
Skim ini terbuka kepada 500 pemohon terawal dan pemohon perlulah mendaftar sebagai ahli e-hailing terlebih dahulu.
Bagi membantu lebih ramai usahawan yang berminat untuk menceburi perniagaan ini dan tidak mempunyai modal bagi membeli motosikal.
Oleh Zarina Abdullah