
GENEVA: Tiga cedera akibat ditikam dalam satu serangan hari ini di stesen kereta api di bandar Winterthur, Switzerland, timur laut Zurich, lapor Anadolu Ajansi.
Serangan itu berlaku sejurus selepas 8.30 pagi waktu tempatan (0630 GMT), apabila seorang lelaki bersenjatakan senjata tajam menyerang beberapa individu di stesen berkenaan, menurut polis kanton Zurich dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa berkata suspek ditahan di lokasi kejadian. Lelaki itu dikenal pasti sebagai warga Switzerland berusia 31 tahun.
Ketiga-tiga mangsa, masing-masing warga Switzerland berusia 28, 43 dan 52 tahun, dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Polis berkata motif serangan masih dalam siasatan.
Winterthur terletak di timur laut Zurich dan merupakan antara hab kereta api terbesar di Switzerland. – Bernama