KUALA LUMPUR: Sebanyak 29 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes Hydroshoppe Sdn Bhd dan pengarahnya berhubung dakwaan tawaran suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi manfaat Tan Sri Annuar Musa berkaitan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur di Mahkamah Tinggi di sini.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin hari ini.
“Pada hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen terakhir berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan,” katanya yang mengendalikan kes bersama-sama TPR Nidzuwan Abd Latif.
Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Pengarah Hydroshoppe Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh mengesahkan perkara itu.
Noor Ruwena kemudian menetapkan 30 November ini untuk pengurusan kes serta 24, 28, 29 dan 30 Jun 2027 sebagai tarikh baharu perbicaraan.
Sebelum ini, mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 hingga 7 Jan 2027, 2 hingga 4 Februari, 8 hingga 10 Jun, 14 hingga 17 Jun dan 21 hingga 23 Jun tahun sama.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid, 52, didakwa menawarkan rasuah melalui Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia supaya mempercepat pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022 mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Hydroshoppe turut didakwa mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagai sebuah organisasi komersial kerana secara bersama-sama menawarkan suapan kepada Tan bagi manfaat Annuar di lokasi dan tarikh sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM1 juta atau 10 kali nilai suapan mengikut yang mana lebih tinggi.- Bernama




