
JAKARTA: Seramai 2,839 penduduk dipindahkan akibat banjir di Demak, wilayah Jawa Tengah, susulan hujan lebat selama beberapa hari serta limpahan Sungai Tuntang.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) Abdul Muhari berkata setakat 9 pagi waktu tempatan Sabtu, banjir telah menenggelamkan beberapa kawasan rendah selain menyebabkan benteng pecah, sekali gus memaksa penduduk berpindah ke beberapa pusat perlindungan sementara.
Beliau berkata keadaan bertambah buruk selepas benteng runtuh di beberapa lokasi di kecamatan Guntur, khususnya di desa Trimulyo dan Sidoharjo, menyebabkan air membanjiri kawasan perumahan dan tanah pertanian.
Penilaian awal menunjukkan banjir menjejaskan lapan desa di empat kecamatan iaitu Guntur, Karangtengah, Wonosalam dan Kebonagung, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, paras air di sesetengah kawasan khususnya di desa Trimulyo dan Ploso, mencecah sehingga 150 sentimeter, menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui kenderaan ringan dan menjejaskan aktiviti harian.
Abdul Muhari berkata pihak berkuasa di Demak membuka pusat pemindahan di masjid, pejabat kerajaan dan kemudahan komuniti lain di desa yang terjejas.- Bernama