
PANTU: Seramai 28 ketua kaum terdiri daripada tuai rumah serta seorang penghulu bagi Zon Pantu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan telah menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang diadakan di Rumah Tiam Sebemban Jampu, dekat Pantu, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, berkata Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang dilantik diharap terus bekerjasama erat dengan kerajaan Sarawak dalam memastikan agenda pembangunan negeri, khususnya di Bahagian Sri Aman, dapat diteruskan secara menyeluruh.
“KMKK yang dilantik memainkan peranan penting dalam merancang dan memacu pembangunan di kawasan masing-masing. Kerjasama yang baik dengan kerajaan amat penting bagi melancarkan pelaksanaan setiap inisiatif pembangunan,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar setiap KMKK, khususnya mereka yang baharu dilantik, menjalankan tanggungjawab dengan penuh ketelusan, keikhlasan, amanah dan integriti.
“Kepimpinan saudara-saudari akan menjadi contoh kepada komuniti setempat. Tangani isu dan permasalahan dengan bijaksana dan sentiasa rujuk kepada sumber sahih dari agensi-agensi berkaitan sekiranya ada kekeliruan,” tambah beliau.
Mong turut menekankan bahawa penglibatan aktif KMKK bersama agensi kerajaan negeri akan memudahkan perancangan serta pelaksanaan program pembangunan hasil hubungan dua hala yang mantap.
Dalam ucapannya, Mong juga menggesa agar penduduk rumah panjang memberi kerjasama penuh kepada agensi kerajaan dalam proses penyukatan tanah di kawasan masing-masing, dan menyeru tuai rumah yang disambung perkhidmatan agar sentiasa memantau kebajikan serta kesejahteraan penduduk di bawah jagaan mereka.
Sempena majlis tersebut, Datuk Mong turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM6,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Tiam.
Oleh Adi Safarman