
JULAU: Sebanyak 28 kes berkaitan penyalahgunaan dadah direkodkan di Julau dan Pakan dari Januari hingga November 2025, melibatkan majoriti kes positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata daripada jumlah tersebut, dua kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 26 kes melibatkan individu yang didapati positif dadah jenis syabu di bawah Seksyen 15(1)(a).
Katanya, dua individu daripada 26 kes Seksyen 15(1)(a) telah dituduh di bawah Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan faktor pengulangan kes serta rekod lampau.
“Kes pertama dituduh pada 29 Ogos lalu dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, satu sebatan serta dua tahun pengawasan polis.
“Kes kedua dituduh pada 6 November lalu melibatkan hukuman penjara lima tahun, dua kali sebatan dan dua tahun pengawasan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Seksyen 12(2) memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, sekiranya sabit kesalahan.
Bagi kes Seksyen 15(1)(a), individu boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.
Bagi pesalah berulang di bawah Seksyen 39C(1)(b), hukuman yang diperuntukkan adalah penjara minimum lima tahun sehingga tujuh tahun serta sebatan sehingga tiga kali, bergantung kepada keputusan mahkamah.
Tegasnya, tindakan undang-undang ke atas pesalah berulang menunjukkan komitmen berterusan pihak polis dalam membendung penularan dadah dalam komuniti.
“PDRM Julau komited memastikan tindakan penguatkuasaan diteruskan bagi mencegah penularan dadah dalam komuniti serta melindungi keselamatan awam.
“Orang ramai disarankan untuk tampil memberi maklumat jika ada aktiviti sedemikian di kawasan mereka,” katanya.
Oleh Earl Anek