SHEILA ZAIDI
KUCHING: Seramai 2,554 senarai kontak rapat dikenal pasti di bahagian Kuching yang dikendalikan Jawatankuasa Pasukan Bertindak Pengesanan Kontak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah itu 86 peratus telah berjaya dihubungi oleh jawatankuasa bertindak berkenaan.
“Daripada 86 peratus telah berjaya dihubungi dan setelah disaring, terdapat 16 daripada mereka didapati positif.
“Manakala baki 14 peratus daripada mereka masih belum dapat dikesan dan ada di antara mereka juga telah keluar dari Sarawak,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media semalam.
Menurut Uggah, pihak pasukan bertindak akan terus berusaha mengesan dan paling penting dapat menghubungi mereka.
Katanya, Jawatankuasa Bertindak ini merupakan salah satu daripada jawatankuasa ditubuhkan JPBNS yang diketuai bekas Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Jamilah Hashim.
Mereka, ujarnya, bertanggungjawab untuk melihat dan membuat cadangan mengenai kaedah mempercepatkan penurunan Covid-19 yang meningkat.
Sementara itu, berhubung dengan perkembangan bank bergerak di kawasan luar bandar negeri ini, Uggah berkata, ia masih dalam peringkat perancangan.
Dalam perkembangan lain, Uggah yang juga pengerusi JPBNS berkata, pihaknya telah menyelaras kepulangan pelajar yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan melibatkan sejumlah 8,116 pelajar.
Beliau berkata, terdapat 98 pusat kuarantin dibuka dan daripada jumlah tersebut, 60 pusat kuarantin adalah untuk PUI dan 38 pusat kuarantin adalah untuk orang dalam pemantauan (PUS).
“Untuk pusat kuarantin PUI, kapasiti katil adalah sebanyak 5,630 dan bilangan penghuni sedia ada adalah seramai 4,277.
“Manakala pusat kuarantin di hotel untuk PUS pula, sebanyak 5,482 bilik disediakan yang melibatkan 41 hotel,” katanya.
Jelasnya, jumlah keseluruhan yang berada di kedua-dua kategori pusat kuarantin tersebut adalah seramai 8,536 orang sementara seramai 14,566 orang selesai menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan.
Semalam, seramai 517 PUS telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 hotel adalah seramai 4,259 orang.
Manakala seramai 6,310 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.