KUALA LUMPUR: Sekitar 25,000 pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi seluruh negara akan menerima wang saku dari kerajaan negeri, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, jumlah wang saku tersebut akan diumumkan pada pembentangan Bajet Sarawak 2025 pada 20 November depan.
“Saya akan mengumumkan butirannya bulan depan. Wang saku ini akan disalurkan kepada pelajar Sarawak yang menuntut di universiti dan kolej seluruh Malaysia.
“Menurut anggaran saya, inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 25,000 pelajar di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Townhall bertajuk ‘Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak,’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menjelaskan bahawa hanya pelajar memiliki kad pengenalan Sarawak yang sah dengan tanda ‘K’ layak menerima bantuan ini.
“Sama ada menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), atau institusi lain, kami akan menyediakan bantuan bagi menampung keperluan asas setiap bulan,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa hasil Sarawak terus meningkat setiap tahun, dan kerajaan Sarawak sentiasa berusaha gigih menjana dana yang dapat dikembalikan kepada rakyat Bumi Kenyalang.
Oleh Mohd Neenatul Aizal