KUCHING: Seramai 25 Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan menerima bantuan berupa makanan asas di Kompleks Belia Sukan semalam.
Menteri Kebajikan Wanita dan Masyarakat Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah hadir ke acara penyampaian Bakul Makanan Korporat kepada OKU cacat penglihatan sekali gus menyampaikan bantuan kepada para penerima.
“Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Raja Noor dan Datin Shental Bersama rakan rakan korporat mereka yang lain kerana sudi menyalurkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan terutamanya golongan OKU.
“Kita amat menyokong usaha baik untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan berharap agar bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu golongan OKU yang bekerja mendapat bantuan sebanyak RM450 manakala bagi OKU yang tidak bekerja, akan mendapat RM350.
Pada masa sama, persiapan untuk para Sukan Malaysia (SUKMA) tidak akan terjejas dan latihan para atlet akan berjalan seperti biasa mengikut situasi Covid-19.
Tambahnya lagi, atlet para SUKMA akan meneruskan latihan bagi menghadapi kejohanan yang akan berlangsung di Johor pada 2022.
”Latihan persiapan atlet kita mengikuti Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan, jadi tiada masalah untuk atlet untuk meneruskan menjalani latihan.”
Beliau juga menyatakan keadaan di Sarawak yang semakin baik hasil daripada kerjasama dan usaha keras pihak berwajib serta orang awam kerana terus mematuhi SOP.
“Saya harap masyarakat di Sarawak terus menjaga disiplin dan patuhi SOP supaya kita dapat kembali ke kehidupan normal,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Sarawak, Azura Sarbin, Ahli Majlis Wanita Dan Keluarga Sarawak, Raja Noor Akmar Raja Kamil Penolong, Setiausaha Unit Pembangunan OKU KWKPK, Matthew Chin dan Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak, Isak Ngau.
Oleh ASYRAF HALIM