
MUKAH: Operasi pemadaman kebakaran di kawasan kebun berhampiran Lapangan Terbang Mukah dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah kini memasuki hari kelapan melibatkan seramai 230 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan dan pasukan keselamatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine turut turun padang hari ini untuk meninjau dan membantu secara langsung usaha pemadaman.
Beliau menyatakan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, dan berharap operasi dapat mencapai kejayaan segera demi keselamatan komuniti setempat serta kawasan berdekatan.
Bagi memperkukuh keupayaan logistik di lapangan, dua unit pam air dan satu unit jentera pengorek (excavator) telah disediakan di lokasi operasi.
Selain itu, lima set pam air milik pekebun turut digunakan bagi menyokong usaha pemadaman.
Difahamkan, terdapat lebih 15 pondok kebun dalam kawasan yang terjejas oleh kebakaran tersebut.
Turut sama membantu ialah sukarelawan dan penduduk kampung yang berganding bahu dengan pasukan keselamatan.
Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR). -UKAS