23 cedera dalam kemalangan kendiri bas persiaran di Sibu Jaya

Facebook
WhatsApp
SEBUAH bas persiaran terlibat dalam kemalangan kendiri di Bulatan Kanowit, Sibu Jaya, awal pagi ini. Foto Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak

SIBU: Seramai 23 penumpang cedera selepas sebuah bas persiaran terlibat dalam kemalangan kendiri di Bulatan Kanowit, Sibu Jaya, awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi.

“Seramai 43 penumpang berada di dalam bas berkenaan ketika kejadian, dengan 23 penumpang mengalami kecederaan, terdiri daripada 19 wanita dan empat lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba membantu mengeluarkan seorang mangsa wanita yang masih berada di dalam bas ke tempat selamat, manakala 42 penumpang lain telah dibantu keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Kesemua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Sibu dan Hospital Kanowit untuk rawatan lanjut.