KUCHING: Sebanyak 222 taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) dalam Zon Merah dan Zon Kuning Covid-19 di negeri ini sudah dibenarkan beroperasi semula.
Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata sebanyak 160 Taska dan Tadika yang telah dibuka setakat semalam di Zon Merah melibatkan 1,770 kanak-kanak dan 62 Taska dan Tadika di Zon Kuning iaitu Miri dan Limbang membabitkan 1,498 kanak-kanak.
“Bagi menjawab pertanyaan segelintir pihak, Taska dan Tadika dibuka semula di Zon Merah kerana ia merupakan perkhidmatan penting,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pembukaan Taska dan Tadika akan terus dipantau oleh Kementerian Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak bagi memastikan ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Setiap pemantauan harian yang dilakukan akan memberi fokus kepada beberapa aspek SOP yang perlu dipatuhi seperti pemeriksaan borang pengisytiharan kesihatan kaki tangan, ibu bapa dan anak-anak, pengambilan suhu badan sebelum memasuki Taska dan Tadika, penjarakan fizikal sewaktu melakukan aktiviti, sewaktu makan atau sewaktu tidur dan peralatan barang permainan dan peralatan disanitasi dengan kerap.
Menjawab kepada persoalan yang dikemukan mengenai sebab pembukaan Taska dan Tadika di Zon Merah, beliau menjelaskan ia merupakan perkhidmatan penting yang diperlukan oleh ibu bapa yang bekerja.
“Ada anak-anak yang ibu bapa bekerja sebagai petugas barisan hadapan dan tidak ada orang menjaga anak-anak mereka, ada juga ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan penjagaan kerana kedua-duanya bekerja.
“Ibu bapa perlu bekerja dan mencari pendapatan bagi menyara keluarga dan ini perkhidmatan yang diperlukan bagi membolehkan mereka bekerja,” ujarnya ketika melakukan pemeriksaan di sebuah Taska swasta di sini semalam.
Mengulas dengan lebih lanjut, beliau juga berkata bahawa ibu bapa juga perlu mematuhi SOP apabila mereka terpaksa keluar rumah bagi mengurangkan risiko anak-anak terkena jangkitan Covid-19.
“Untuk memastikan anak-anak dan ibu bapa serta ahli keluaga yang lain selamat, semua memainkan peranan penting bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini,” ujarnya.
Di samping itu, beliau berpuas hati dengan pengurusan Taska dan Tadika yang memberikan dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik dalam memastikan kanak-kanak di bawah jagaan mereka selamat.
Oleh RYNNA SHA’ERRA MINDEW