TAPAH: Polis merampas 220 ketulan mampat dipercayai ganja bernilai RM535,525 daripada sepasang kekasih dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Hentian Rehat dan Rawat Tapah arah selatan, di sini Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata, berdasarkan maklumat, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman melakukan serbuan terhadap kenderaan Hyundai Starex yang dinaiki seorang lelaki berusia 47 tahun dan teman wanitanya berusia 32 tahun pada 10.30 pagi.
“Semua ketulan mampat yang disyaki ganja seberat 214.21 kilogram itu ditemukan di bahagian belakang kenderaan MPV itu.
“Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu dipercayai dalam perjalanan dari arah utara ke Lembah Klang dan berehat sebentar di hentian berkenaan semasa ditangkap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, di sini semalam.
Goh berkata, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah curi dan rompak.
Menurut Goh, dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari luar negara selain negeri di utara tanah air dan ia boleh dibekalkan untuk 140,000 penagih di sekitar Lembah Klang.
“Hasil risikan mendapati kedua-dua suspek aktif melakukan pengedaran dadah kira-kira dua bulan lepas,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek direman seminggu bermula Khamis lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama