21 maut puting beliung landa Missouri, Kentucky

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
MUSNAH AKIBAT PUTING BELIUNG… Serpihan dan rumah yang rosak dilihat selepas puting beliung melanda London, Kentucky semalam. Foto AFP

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 21 terbunuh selepas puting beliung kuat melanda Missouri dan Kentucky, menyebabkan kemusnahan meluas, mencetuskan pengisytiharan darurat dan memutuskan bekalan elektrik kepada ratusan ribu penduduk di seluruh bahagian tengah Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Gabenor Kentucky Andy Beshear semalam mengesahkan bahawa 14 maut di negeri itu. Beliau memberi amaran bahawa angka korban mungkin meningkat apabila operasi menyelamat diteruskan.

PEMBERSIHAN… Ahli komuniti dan kru membersihkan serpihan di kawasan kejiranan Sunshine Hills pada 17 Mei 2025 di London, Kentucky. Puting beliung melanda masyarakat di Somerset dan London, Kentucky, menyebabkan lebih 10 maut dan lebih ramai lagi cedera. Foto AFP

“Ini adalah satu lagi pagi yang sukar untuk Kentucky selepas satu malam dilanda cuaca buruk,” tulis Beshear di X, sambil menambah bahawa negeri itu sedang dalam fasa penyelamatan aktif dengan lebih 100,000 penduduk terputus bekalan elektrik.

Beliau telah mengisytiharkan darurat sebelum ribut melanda dan merancang untuk melawat bandar London, Kentucky, bagi menilai kerosakan. Lima daerah telah mengeluarkan pengisytiharan darurat.

NATHAN Anders berdiri di sisa-sisa rumahnya ketika saudaranya, Raymond Samples, duduk di sofanya selepas puting beliung melanda di London, Kentucky semalam. Foto AFP

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menggambarkan satu daripada puting beliung yang melanda sejurus selepas tengah malam Jumaat sebagai “sangat berbahaya.”

Di Missouri, ribut mengorbankan tujuh orang, termasuk lima di kawasan St. Louis dan dua lagi di tenggara Scott County, menurut laporan NBC News.

Lebih 700,000 rumah dan premis perniagaan di 12 negeri terputus bekalan elektrik, dengan Missouri dan Kentucky antara yang paling terjejas, lapor CNN yang memetik data PowerOutage.us.

Terdapat juga laporan kejadian puting beliung di Illinois dan Indiana ketika sistem cuaca buruk itu melanda kawasan berkenaan. – Bernama