KABONG: Duo2 Festival 2024 mendapat sambutan hangat apabila seramai 20,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari program itu diadakan di sini yang berakhir semalam.
Pengerusi Penganjur, Casner Duchavy berkata walaupun keadaan cuaca yang sering hujan sepanjang program itu diadakan, namun orang ramai di sekitar Kabong tetap tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan suasana di tapak pesta lebih-lebih lagi menyaksikan persembahan pentas yang diadakan setiap malam.
Katanya, Duo2 Festval adalah berkonsepkan hiburan selain menampilkan jualan makanan dan minuman, barangan kosmetik, pakaian serta pelbagai aktiviti menarik untuk setiap pengunjung yang hadir.
Jelas beliau, penampilan beberapa artis yang membuat persembahan pada setiap malam turut memeriahkan lagi kehadiran pengunjung di sekitar Kabong.
“Selaku pihak penganjur, saya merakamkan terima kasih atas kehadiran pengunjung yang hadir di tapak festival sepanjang lima hari program dilangsungkan.
‘Malah kehadiran artis-artis jemputan dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia serta tempatan yang membuat persembahan pada setiap malam turut ‘menggegarkan” di sekitar tapak festival,” kata Casner.
Katanya, antara artis-artis yang membuat persembahan ialah Kumpulan Screen, NNC Band, Silent Killer, Shidi Data dan penyanyi dari Indonesia iaitu Cynthia dan Chantika.
“Selain menampilkan artis, pengunjung turut diberi peluang menyertai acara seperti pertandingan karaoke, tarian poco-poco serta aktiviti fesyen pakaian dan melukis untuk kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah hadir merasmikan program tersebut pada hari pertama diadakan.
Sementara itu, rakan kerjasama penganjur Khusairi Johari memberitahu selepas Kabong, program tersebut akan turut di dilangsungkan di dua tempat iaitu Esplanade Bintulu dan Saratok pada 27 hingga 31 Disember sempena sambutan ambang tahun baharu.
‘Malah, kita juga akan menampilkan beberapa artis popular dari Semenanjung Malaysia dan tempatan seperti Kumpulan Screen dan Lestari di Bintulu nanti.
“Kepada warga Bintulu dan Saratok jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan ambang sambutan Tahun Baharu 2025 nanti,” katanya.
Oleh MAHDAR BUJANG