BETONG: Penunggang dan pembonceng terselamat selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda berhampiran Simpang Layar jalan Betong-Saratok di sini petang tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 3.40 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal berkuasa besar yang dinaiki dua lelaki dewasa dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang turut dinaiki dua lelaki dewasa.
“Impak dari kemalangan, motosikal tersebut telah terbakar 100 peratus.
Kedua-dua penunggang serta pembonceng motosikal mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh Unit EMRS.
“Mangsa dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pemandu serta penumpang pacuan empat roda tiada mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN