KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menerima permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kita terima, kita terimalah permohonan maafnya,” katanya secara ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu selepas merasmikan Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak dan Regata Sarawak 2024 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Khamis lalu, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.
Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu dibuat enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
Mengenai Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak, Abang Johari berkata, lebih 2,000 orang termasuk penyokong serta keluarga dari 21 negara menyertai acara berkenaan.
“Penyertaan dalam acara perahu naga itu bertambah, namun kita terpaksa mengehadkan jumlah peserta.
“Acara ini memberi sumbangan besar kepada sektor pelancongan Sarawak kerana yang datang bukan saja peserta malah keluarga mereka turut hadir,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal