
ALOR SETAR, 15 Mei -- Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri DUN Muhammad Sanusi Md Nor kelihatan keluar dari Wisma Darul Aman hari ini. Seramai 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, UMNO dan dua bebas (bekas ADUN PKR) tiba di Wisma Darul Aman bagi mengadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi tadi. Majlis mengadap itu dipercayai diadakan berikutan krisis politik membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah. Sementara itu, petugas media tidak dibenarkan masuk ke Wisma Darul Aman dan hanya dibenarkan menunggu di luar pagar kompleks kerajaan negeri Kedah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR SETAR: Seramai 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah daripada PAS, UMNO dan Bebas tiba di Wisma Darul Aman di sini bagi menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah semalam.
Antara yang tiba bermula jam 9.15 pagi semalam ialah Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor (Jeneri), diikuti Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Tokai), Datuk Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas), Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) dan Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu).
Majlis menghadap itu dipercayai diadakan berikutan krisis politik membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.
Petugas media tidak dibenarkan masuk ke Wisma Darul Aman dan hanya dibenarkan menunggu di luar pagar kompleks kerajaan negeri Kedah itu.
Difahamkan, ADUN Pakatan Harapan pula dijadual menghadap Sultan Sallehuddin pada sebelah petang.
Selasa lepas, dua ADUN PKR Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling (Sidam) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas serta menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional.
Pada hari sama, Muhammad Sanusi mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.
Muhammad Sanusi mendakwa empat ADUN Bersatu juga telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz, yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu. Kedah mempunyai 36 kerusi DUN.
Pakatan Harapan menerajui kerajaan negeri dengan 19 kerusi terdiri daripada PKR (tujuh), Bersatu (enam), Amanah (empat) dan DAP (dua).
PAS mempunyai 15 kerusi manakala UMNO dua kerusi. – BERNAMA