LABUAN: Sebanyak 172,955 syarikat melibatkan 464,797 kenderaan telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di seluruh negara setakat 18 Julai, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata 28,127 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan telah didaftarkan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan susulan peluasan mekanisme subsidi diesel bersasar ke tiga wilayah berkenaan bermula 1 Julai.
Daripada jumlah itu, 18,770 syarikat melibatkan 51,679 kenderaan telah didaftarkan di bawah sektor pengangkutan darat (barangan pengguna), manakala 7,241 syarikat melibatkan 13,557 kenderaan didaftarkan di bawah sektor pengangkutan darat milik syarikat yang meliputi jip dan trak pikap.
Sebanyak 2,116 lagi syarikat melibatkan 3,433 kenderaan telah didaftarkan di bawah sektor pengangkutan darat (awam).
“Peningkatan berterusan dalam jumlah pendaftaran mencerminkan perkembangan yang menggalakkan dalam pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Bagi syarikat yang telah berjaya didaftarkan dan diluluskan di bawah SKDS, langkah seterusnya ialah memohon kad fleet daripada syarikat minyak yang mengambil bahagian,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kad fleet SKDS di Kampung Patau-Patau 2 di sini hari ini.
Terdahulu, Armizan bersama wakil syarikat PETRONAS, Shell dan Petron menyampaikan kad fleet kepada syarikat yang layak di Labuan.
Armizan berkata penggunaan kad fleet membolehkan setiap transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital, sekali gus memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan manfaat subsidi dinikmati oleh kumpulan sasar.
Beliau berkata syarikat yang layak tetapi masih belum mendaftar di bawah SKDS digesa supaya mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi.
Permohonan SKDS bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka pada 4 Mei, menjelang pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Armizan berkata kementerian itu turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti cadangan penambahbaikan SKDS berdasarkan pengalaman pelaksanaan, maklum balas industri serta isu operasi.
Beliau berkata sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak akan diteruskan bagi memastikan keperluan operasi di lapangan diambil kira tanpa menjejaskan objektif penyasaran subsidi serta usaha membendung ketirisan. – Bernama





