CHERYL LAW
KUCHING: Para pengguna mempunyai beberapa pilihan untuk menempah barangan keperluan secara digital untuk diri kita terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menentang Covid-19 sekarang dan pada bulan Ramadan dan sambutan Hari Gawai Dayak akan datang.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Industri Terminal dan Keusahawan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais berkata, kementeriannya telah memulakan satu program yang dinamakan BAZAAR RAMADAN SARAWAKKU SAYANG (BROSS).
“Program ini boleh digunakan dalam mana-mana musim dan menggunakan beberapa Platfom Digital atau e-commerce. Salah satu daripada platfom e-Commerce yang kementerian wujudkan ialah applikasi “HELPY”,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Platfom e-commerce Helpy ini akan membantu para usahawan mempromosikan barangan mereka, membantu para pengguna mencari barang keperluan, dan seterusnya menghantar barangan belian itu terus ke rumah mereka mengikut tarikh dan masa yang telah dipilih.
Dengan kata lain jelasnya, applikasi HELPY ini memberi perkhidmatan sehingga ke destinasi atau LAST MILE services.
Menurut Naroden, setakat ini sambutan keatas program BROSS dengan platfom HELPY telah berkembang dengan kadar yang sangat cepat.
Sejak pengumuman pelaksaan PKP pada 18 Mac yang lalu, BROSS mula dilancar secara sederhana dan sekarang sudah berkembang ke seluruh 12 bahagian di negeri ini.
“Setakat ini, BROSS sudah mempunyai ahli atau vendor sebanyak 1,721 orang usahawan dan 410 orang pengendali yang berlesen dan sudah juga di inokulasi dengan Vaccine typhoid untuk memastikan para penghantar barangan itu bersih dan sihat,” jelasnya
Tambahnya, BROSS juga mempunyai pengikut Facebooknya sebanyak 95,725 orang seluruh Negeri. Jumlah vendor (usahawan), runners (penghantar), dan pengikut melalui Facebook BROSS akan bertambah setiap masa.
Jaringan BROSS sudah berkembang dari Bahagian Kuching hingga ke Limbang.
Malah menurut Naroden, Bahagian Kapit sudah ada beberapa orang vendor dengan pengendalinya sekali.
Manakala, Bahagian Limbang sudah ada 100 orang usahawan atau vendors berdaftar dan dijangka memulakan operasi penghantaran Rabu ini.
Naroden berkata bahawa panduan ini mungkin tidak seberapa jelas, namun kita sebagai pengguna di zaman digital ekonomi sekarang harus belajar serba sedikit cara menggunakan teknologi moden ini.
“Jarang sekali kita lihat orang tidak memiliki telefon. Majoriti antara kita memiliki telefon dan mungkin ada yang memiliki lebih daripada satu telefon,” katanya.
Ujarnya, selaras dengan dasar dan impian Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, teknologi akan mengubah cara kita bekerja. Dan lama laun penggunaan teknologi dan internet akan menjadi budaya kita.
“Lebih lagi kita sekarang sedang dilanda wabak Covid-19, dimana kita tidak ada pilihan lain, melainkan mendekat diri kita dan menghayati teknologi sebagai cara hidup kita di masa akan datang,” tambahnya.