TEHRAN: Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan puluhan cedera apabila sebuah kereta api tergelincir berhampiran bandar Tabas di tengah Iran selepas melanggar sebuah jengkaut, lapor media kerajaan semalam.
“Seramai 17 orang maut dan 37 orang yang cedera dipindahkan ke hospital,” kata Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Mojtaba Khaledi kepada televisyen kerajaan.
“Jumlah kematian mungkin meningkat kerana kebanyakan yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” katanya sambil menambah bahawa 24 ambulans dan tiga helikopter dihantar ke tempat kejadian.
Tabas terletak di Wilayah Khorasan Selatan, sekitar 900 kilometer melalui jalan darat dari Tehran.
Timbalan Ketua Kereta Api milik negara Iran, Mir Hassan Moussavi, memberitahu penyiar negeri bahawa kereta api itu membawa 348 penumpang.
Jelasnya, kereta api itu tergelincir selepas melanggar sebuah jengkaut yang berada berhampiran landasan.
Rakaman televisyen negara menunjukkan sebahagian daripada yang cedera dihantar ke hospital dengan helikopter.
Sementara itu, gambar yang disiarkan oleh agensi berita ISNA menunjukkan.pasukan penyelamat memeriksa gerabak ketika orang ramai berkumpul berdekatan kawasan kejadian.
Salah satu gambar menunjukkan sebuah jengkaut kuning di sisinya di tepi landasan.
Ketua operasi kecemasan Bulan Sabit Merah Iran, Mehdi Valipour, memberitahu televisyen negara bahawa lima daripada 11 koc kereta api itu terkeluar dari landasan dalam kemalangan yang berlaku pada 5.30 pagi
Media Iran juga melaporkan pendakwa raya Tabas melawat tempat kejadian ketika siasatan kehakiman dilancarkan terhadap punca kemalangan itu.
Pada Mei lalu, sebuah kereta api tergelincir selepas blok menara runtuh di barat daya Iran mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang.
Runtuhan bangunan Metropol 10 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Abadan, mencetuskan Protes Berang sebagai solidariti dengan keluarga mangsa.
Badan kehakiman wilayah berkata, ia menahan 13 orang, termasuk Datuk Bandar Abadan dan dua bekas datuk bandar, yang disyaki ‘bertanggungjawab’ atas tragedi itu.
Bencana itu adalah antara yang paling mengerikan di Iran dalam beberapa tahun dan mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara terhadap pihak berkuasa yang dituduh melakukan rasuah dan ketidakcekapan.
Pada 2016, dua kereta api berlanggar dan terbakar di utara Iran, membunuh 44 orang dan mencederakan puluhan orang.
Ketua Kereta Api Iran ketika itu meletak jawatan selepas empat pekerjanya ditahan berikutan perlanggaran di laluan utama antara Tehran dan bandar kedua Mashhad. -AFP