KUCHING: Seramai 1,687 daripada 3,443 pemohon layak mendapat Bantuan Khas Ibu Tunggal di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah pemohon yang menerima bantuan itu disalurkan ke dalam akaun masing-masing adalah seramai 214 orang bersamaan RM64,200 manakala selebihnya masih dalam proses.
“Ibu tunggal yang lulus untuk menerima bantuan itu berpendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK semasa) RM960 atau perkapita RM244.
“Untuk mereka yang gagal adalah disebabkan oleh pendapatan ibu tunggal tersebut melebihi RM960,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.
Bantuan itu adalah melalui insentif PENJANA, sebanyak RM300 sekali bayar akan dikreditkan ke dalam akaun penerima yang layak.
Dalam pada itu, untuk 80 permohonan yang ‘masih dalam pemerhatian’ adalah disebabkan oleh permohonan tidak lengkap dari segi dokumen.
“Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, terdapat 4,461 orang penerima bagi bantuan kanak-kanak di negeri ini.
“Untuk ibu tunggal yang berpendapatan RM960 ke bawah dan masih belum memohon Bantuan Khas Ibu Tunggal yang tersenarai di bawah bantuan kanak-kanak, boleh membuat permohonan dengan kadar segera sebelum 31 Oktober,” katanya lagi.
Borang boleh diperolehi di Pejabat Daerah, Pejabat Kebajikan Masyarakat atau laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.
Oleh Nur Ain Otsman