KUCHING : Sebanyak 163 lokasi di bandar raya ini dikategorikan sebagai Zon Merah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Samariang merupakan salah satu kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah.
“Untuk kawasan Samariang, lokasi yang telah dikenalpasti ialah Semariang Batu, Jalan Bentara, Taman Sukma dan Bandar Baru Semariang.
“Sementara itu untuk kawasan Satok pula, lokasi yang diisytiharkan sebagai merah ialah Jalan Satok, Jalan Patingan, Sungai Maong dan Sungai Tengah,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media semalam.
Menurut Karim, kawasan lain di Kuching yang turut dikenalpasti ialah Taman Sri Wangi, Laruh Skim dan Kampung Pinang Jawa.
Untuk Zon Satu, JPBN mengisytiharkan Jalan Arang, Stampin, Jalan Lapangan Terbang, Taman Stampin Barat, Kampung Cemerlang, Jalan Stampin Timur dan Jalan Stampin Tengah sebagai lokasi merah Covid-19, katanya.
Sementara untuk Zon Dua pula ialah, Tabuan Height, Taman BDC, Jalan Stutong, Jalan Kempas dan Batu Lintang.
Zon Tiga pula ialah Kenny Hill dan Central Park sementara Zon Empat melibatkan kawasan SMK Seri Setia, Tabuan Laru, Muara Tabuan danTabuan Desa.
Zon Lima pula ialah Lorong Abdul Rahim dan Taman Green Height manakala Zon Enam melibatkan kawasan Taman Riverview dan Batu 22.
Beberapa kawasan di Zon Tujuh juga dikenalpasti sebagai zon merah iaitu Jalan Semaba, Batu Kawa, Taman Desa Wira, Sunny Hill, Jalan Stapok dan Taman Beverly.
Manakala di Demak Laut pula ialah Demak Laut, Demak Baru dan Kampung Rampangi.
Di Kota Samarahan pula, sebanyak 41 kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan merah iaitu Desa Ilmu, Tanjung Bundong, Muara Tuang, Uni Garden dan Sadong Jaya.