
BINTANGOR: Seramai 1,600 orang peserta menduduki ujian bertulis Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen Kelas B2 di Dewan Chen Ling Mei, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam program tersebut bermula hari ini hingga 28 September 2025, esok.

Katanya, program MyLesen B2 merupakan salah satu inisiatif penting bagi membantu golongan belia khususnya di kawasan luar bandar mendapatkan lesen memandu dengan cara yang lebih mudah dan kos yang berpatutan.
“Lesen memandu adalah keperluan asas masa kini kerana ia bukan sahaja memudahkan urusan pergerakan harian, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan keselamatan di jalan raya.
“Kejayaan program seperti ini memberi peluang kepada anak muda untuk meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan kekangan mobiliti yang sering dihadapi penduduk pedalaman.
“Saya amat berharap agar semua peserta dapat menumpukan sepenuh perhatian sepanjang ujian dijalankan dan berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, memiliki lesen memandu juga merupakan langkah penting dalam memperkasa golongan belia supaya lebih berdikari serta mampu mengambil peluang ekonomi yang wujud di sekitarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran program MyLesen B2 kali ini.
“Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti amat penting supaya inisiatif seperti MyLesen B2 benar-benar memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Oleh Earl Anek