
SIBU: Lebih 1,600 peserta daripada pelbagai peringkat usia telah memperoleh manfaat daripada Program MyLesen B2 peringkat Sibu yang bertujuan membantu golongan B40 memiliki lesen memandu motosikal.
Program anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lanang dan Akademi Memandu Suria itu membuka peluang kepada individu yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan lesen secara sah dengan kos minimum.
Pelaksanaan program bermula sejak 15 Februari lepas dengan kursus teori dan ujian undang-undang, sebelum peserta menjalani ujian praktikal pada 20 dan 21 April di litar institut memandu.


UJIAN… Peserta menjalani ujian praktikal pada Program Bantuan MyLesen Kelas B2 bagi Parlimen 211 Lanang di Akademi Memandu Suria pada 19 dan 20 April. Foto BERNAMA
Pasangan kembar remaja, Linnie Lau Qian Yi dan Livia Lau Pey Yi, masing-masing berusia 18 tahun, meluahkan rasa syukur dan gembira setelah berjaya menamatkan ujian praktikal serta memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL).
Menurut pasangan kembar itu, lesen yang diperoleh bukan sekadar sehelai kertas, tetapi satu tiket kepada kebebasan dan tanggungjawab yang lebih besar sebagai remaja yang sedang melangkah ke alam dewasa.
“Walaupun pada awalnya gementar, kami sangat teruja kerana akhirnya berjaya lulus ujian praktikal. Terima kasih kepada kerajaan dan JPJ atas peluang ini,” kata Livia.
Sementara itu, Ngumbang Kasian, 54, seorang pengimpal dari Sibu, berkata beliau telah menunggang motosikal lebih 20 tahun tanpa lesen kerana kekangan kewangan, namun akhirnya berjaya memperoleh lesen melalui program ini.
“Saya pernah ada lesen L suatu ketika dahulu, tetapi tidak sempat menyambung selepas terlibat dalam kemalangan. Kini saya tidak perlu bimbang lagi tentang saman,” katanya.
Bagi Ambun Amin, 55, yang mula menunggang motosikal sejak zaman persekolahan tanpa lesen, program ini merupakan peluang kedua yang amat bermakna.
“Dengan hanya RM250, saya akhirnya dapat lesen sah. Program ini sangat membantu orang seperti saya,” katanya.
Seorang lagi peserta, Mohammad Fairol Amizal Jafarrudin, 18, menyifatkan program tersebut sebagai langkah ke arah keselamatan dan tanggungjawab diri.
“Ibu bapa saya sering risau kerana saya menunggang tanpa lesen. Program ini amat bermakna untuk masa depan saya,” katanya.
Sejak dilancarkan tahun lalu, lebih 13,000 rakyat Sarawak telah memperoleh lesen motosikal melalui Program MyLesen B2.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebelum ini menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan bantuan kepada golongan B40 mendapatkan lesen pada kos berpatutan.
Majlis rasmi penyampaian PDL kepada peserta yang berjaya bagi peringkat Sibu dijadual berlangsung pada 10 Mei ini di Dewan SMK Sacred Heart, Sibu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, bersama Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng dijangka hadir menyempurnakan majlis tersebut.
Oleh Tarani Lanting