SARATOK: Acara lumba perahu bidar 10 pekayuh ‘Gaya Sambas’ bakal menjadi acara tumpuan dalam Jaguh Lumba Perahu Sungai Seblak sempena Festival Makanan Roban (RFF) 2024 yang berlangsung pada 14 hingga 15 Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sebanyak 16 pasukan bakal berentap memburu gelaran kejuaraan.
“RFF pada tahun ini menjanjikan acara menarik kepada para pengunjung apabila acara lumba perahu Gaya Sambas adalah julung kali diadakan di Sungai Seblak yang mempunyai keunikannya tersendiri.
“Format acara lumba perahu yang berlangsung secara satu lawan satu ini merupakan pertama kalinya diadakan di Sarawak di dalam acara sukan lumba perahu bidar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi taklimat mengenai penganjuran Jaguh Lumba Perahu Sungai Seblak sempena Festival RFF 2024 bertempat di Pejabat Khidmat DUN Kalaka dekat sini hari ini.
Mohamad Duri berkata, pada acara lumba perahu Gaya Sambas Sungai Seblak ini nanti, hanya perahu bidar 10 pekayuh akan dipertandingkan.
“Raja Sungai Seblak akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sebuah piala. Di Sungai Seblak sempena RFF 2024 turut diadakan dengan acara selingan lain seperti pertandingan memancing tarik tali dalam perahu dan acara karaoke bagi memeriahkan lagi RFF 2024,” katanya.
Beliau turut mengajak masyarakat tempatan dan sekitarnya hadir ke penganjuran RFF bagi memeriahkan lagi suasana serta memenangi cabutan bertuah, sebuah motosikal yang diadakan di Pentas Utama RFF 2024 di Gelanggang Sepak Takraw Kampung Melayu Roban.
Dalam pada itu, sesi taklimat telah disampaikan oleh Kaunselor Kasdi Pandi merangkap Ketua Jawatankuasa Teknikal acara Lumba Perahu Gaya Sambas Sungai Seblak 2024.
Turut hadir Setiausaha Kehormat PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad dan Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan Kalaka, Harjam Jamain.
Oleh Adi Safarman