
BINTANGOR: Sebanyak 155 operasi Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah dilaksanakan oleh SRS Daerah Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, ia merupakan satu pencapaian yang amat baik dan cemerlang.
“Saya berharap, operasi SRS ini dapat dipertingkatkan dan diteruskan lagi bagi menjamin keselamatan kawasan kediaman di setiap perumahan, kampung Melayu dan rumah panjang Daerah Meradong.
“Operasi ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak berkuasa terutama pihak polis dalam pencegahan jenayah terutama di setiap kawasan kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Meradong dan Kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Sarikei Bagi Tahun 2024, baru-baru ini.
Katanya, operasi SRS terbukti dapat mengurangkan kadar jenayah di dalam kawasan komuniti.
“Program KRT banyak memupuk semangat berpasukan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Perbezaan agama, budaya dan tradisi tidak menghalang bekerjasama agar membentuk perpaduan dalam kepelbagaian.
“Perpaduan dalam kepelbagaian inilah yang menjadi aset berharga yang menjadikan rakyat Malaysia unik dan dijadikan teladan,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Perpaduan Bahagian Sarikei, Erma Farida Yusuf dan Pengerusi Pengelola, Salina Mokhtar.
Oleh Earl Anek