
PETRA JAYA: Seramai 152 individu menerima Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang dikurniakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Istiadat pengurniaan dimulakan dengan penyampaian Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada 13 penerima sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada negeri.

Antara penerima P.B.K ialah Dr. Zainal Abiddin Masleh, Abang Ahmad Abang Abdul Wahab, Abang Zamari Abang Nazarin, Dau Utau, Faridzul Abdullah, Jumari Hashim, Louis Yeo Soon Guan, Richard Mulok Entring, Rabuan Mantine, Samsudin Drahman, Dayang Mariana Abang Bolhassan, Jamilah Bujang dan Sharifah Liz Faraawati Wan Omar.
Majlis diteruskan dengan pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.) kepada 20 penerima, diikuti Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.) kepada 13 penerima.
Selain itu, seramai 27 penerima dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K.), manakala Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T.) disampaikan kepada 35 penerima.

Istiadat berkenaan diakhiri dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S.) kepada 43 penerima.
Hadir mengiringi Tun Wan Junaidi ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Datu Awang Suhaili Ledi.