SARIKEI: Seramai 152 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru telah menerima sijil tamat Tingkatan 5.
Hadir bagi menyerahkan sijil tamat Tingkatan 5 tersebut ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya.
“Murid bukan sahaja hadir ke sekolah untuk belajar tetapi untuk di didik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Lantas kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan khususnya ketika negara bakal dan semasa melangkah ke arah Revolusi Industri (I.R) 4.0,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap di Majlis Pensijilan Tamat Tingkatan 5 dan Anugerah Kecemerlangan Murid SMK Sarikei Baru 2024/2025 bertempat di Dewan Sri Sarikei, hari ini.
Tambahnya, cara penyampaian pengajaran melibatkan ‘white board’ dengan menyalin nota dan sesi kuliah atau kelas yang panjang sudah lapuk serta mungkin kurang berkesan terutamanya dengan kewujudan teknologi baharu yang menjadi gaya hidup generasi kini.
“Sistem pendidikan negara perlu mengorak langkah ke arah pengajian yang dipandu teknologi digital yang lebih bersifat interaktif dan fleksibel.
“Warga pendidik perlu memiliki kefahaman yang jelas mengenai teknologi terkini untuk memantapkan lagi sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) seterusnya dapat membantu melaksanakan sesuatu perancangan yang telah diaturkan oleh kerajaan mahupun kementerian,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, golongan muda pada masa kini perlu terhindar daripada terjerumus dengan ideologi yang sempit.
“Mereka perlu dilahirkan dengan pemikiran yang berdaya saing serta sentiasa berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek