MOSCOW: Sekurang-kurangnya 15 maut selepas sebuah bot yang membawa lebih 160 penumpang karam di Tasik Kariba, Zimbabwe pada Selasa, menurut penyiar tempatan ZBC, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pasukan penyelamat setakat ini menemukan 15 mayat dan menyelamatkan 74 orang, manakala kira-kira 75 lagi masih hilang, menurut laporan itu.
Jumlah penumpang yang berada di atas bot milik Agensi Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar itu tidak termasuk kanak-kanak berusia bawah empat tahun yang tidak memerlukan tiket berasingan.
ZBC memaklumkan lima kru turut berada di atas bot berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti


