SIBU: Sebanyak RM200,000 diperuntukkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) bagi menjayakan Karnival Selangau 2023 yang akan berlangsung mulai 27 hingga 29 Julai depan.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Wong Ching Yong berkata, sebanyak 149 gerai jualan disediakan oleh penganjur untuk disewa.
“Kita berharap penganjuran pesta ini dapat membantu masyarakat di Daerah Selangau menjana ekonomi dan meningkatan pendapatan penduduk,” jelasnya pada sidang media di pejabat Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, hari ini.
Katanya, majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
“Acara kemuncak karnival yang akan diadakan di pasar lama sekitar Tebingan Pekan Selangau untuk Karnival Selangau adalah Safari Rakit Selangau pada 29 Julai, anjuran bersama Grit Event Management.
“Upacara pelepasan dari Rumah Seli, Nanga Senunok, Ulu Mukah Selangau, sejauh 29 kilometer dan mengambil masa dalam lima jam untuk sampai ke garisan penamat iaitu di Tebingan Selangau,” ujarnya.
Majlis penutupan karnival tersebut, katanya lagi, dijangka disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia dan Sukan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh AKUN GIMAN