KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti 141 projek setakat tahun ini dengan nilai pelaburan RM72.6 bilion yang berpotensi untuk melabur di Malaysia sehingga tahun 2021.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara sektor yang menjadi sasaran kerajaan adalah sektor berkualiti tinggi, berintensifkan pengetahuan dan modal, berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi, yang akan meningkatkan peluang pekerjaan berkualiti di Malaysia.
“Selain projek yang telah diluluskan setakat Mac 2020 sebanyak RM37.4 bilion, MIDA juga sedang menilai sebanyak 725 permohonan baharu dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM36.7 bilion.
“Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM19.2 bilion (52.3 peratus) merupakan pelaburan langsung domestik dan RM17.5 bilion (47.7 peratus) adalah pelaburan langsung asing,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada sesi jawab lisan Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Ahmad bertanyakan mengenai kesan negatif dan positif ke atas Malaysia sejak perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta akibat penularan Covid-19 dan langkah-langkah proaktif yang diambil untuk mengatasi cabaran itu termasuk defisit perdagangan serta keberkesanan langkah-langkah yang telah diambil.
Mohamed Azmin berkata kerajaan juga telah melihat bagaimana usaha-usaha baharu harus ditingkatkan termasuk meningkatkan kolaborasi serantau, apabila Malaysia dan negara-negara ASEAN telah bersetuju menandatangani Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada hujung tahun ini.
“Ini adalah antara usaha untuk membuka pasaran baharu di peringkat serantau dan kawasan baharu. Kita harus ingat bahawa ASEAN mempunyai pasaran yang besar, penduduk seramai lebih kurang 650 juta orang.
“Sudah tentu ada potensi sekiranya Malaysia dapat meningkatkan daya saing di peringkat global dan serantau untuk memenuhi permintaan pasaran ini,” katanya.
Menurutnya, kerajaan melihat krisis perdagangan AS-China dapat membuka peluang baharu bagi Malaysia, namun negara harus menyiapkan diri dengan pendekatan dan dasar baharu pelaburan bagi memenuhi permintaan pasaran pada semalam.
Mohamed Azmin berkata kementeriannya menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi meningkatkan eksport untuk menangani impak perdagangan ke atas Malaysia.
Antara langkah tersebut termasuklah meneruskan aktiviti promosi perdagangan melalui platform digital dengan pengenalan eBizMatch (pemadanan perniagaan secara maya), penganjuran webinar, penggunaan aplikasi MyExport, klinik perdagangan dan memperluaskan skop Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) meliputi aktiviti promosi perdagangan secara maya.- Bernama