SHANGHAI: Banjir besar melanda bahagian tengah dan timur Chiba, menyebabkan lebih 140 orang maut atau hilang, dan pihak berkuasa memberi amaran, ia masih belum mencapai kemuncak.
Lokasi asal virus Covid-19 iaitu Wuhan yang turut menempatkan sungai terbesar China, Yangtze kini dalam keadaan berjaga-jaga, susulan paras air semakin meningkat, dan kini mencecah tahap ketiga tertinggi, dengan pakar meramalkan ia terus menaik minggu depan.
Banjir pada musim panas adalah punca utama masalah di China sejak zaman purba, lazimnya diakibatkan oleh Sungai Yangtze.
Hujan lebat sejak akhir Jun membanjiri sebahagian besar kawasan, menyebabkan 141 orang maut atau hilang, menjejaskan 37.89 juta penduduk lain dan memusnahkan 28,000 kediaman.
Keadaan menjadi bertambah buruk sejak minggu lalu, mengakibatkan paras air meningkat lebih tinggi, sekali gus memaksa kerajaan mengeluarkan amaran.
Sebanyak 33 batang sungai mencatat rekod peningkatan paras air, manakala notis amaran sudah dikeluarkan ke atas 433 sungai lain, kata Kementerian Sumber Air pada satu taklimat di Beijing, semalam.
Rakaman video oleh sistem televisyen rasmi memaparkan bagaimana sejumlah besar bandar dan pekan ditenggelami air sehingga ke bumbung, sambil pasukan penyelamat bertungkus lumus memindahkan penduduk setempat ke dalam bot getah.
Di satu lokasi lain, beberapa rumah musnah akibat tanah runtuh yang disebabkan oleh limpahan air di lereng bukit.
Antara wilayah paling teruk dilanda bencana itu ialah Jiangxi, Hubei dan Hunan di tengah China, Anhui, Zhejiang dan Jiangsu di bahagian timur, serta Chongqing di barat daya negara. – AFP