BANGKOK: Ribut tropika Sinlaku yang membawa angin kencang dan hujan lebat setakat ini telah meragut tujuh nyawa dan merosakkan perladangan serta ternakan ikan di wilayah utara dan selatan Thailand.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Chayapol Thitisak berkata, ribut tropika itu turut merosakkan 2,197 hektar ladang dan 20 tan metrik ternakan ikan.
Sinlaku mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh serta ribut, dan 13,730 keluarga terpaksa dipindahkan setakat ini.
“Sehingga kini, ia telah meragut tujuh nyawa, termasuk tiga yang lemas – masing-masing di Phitsanulok, Udon Thani, dan Nong Bua Lamphu manakala dua lagi terkorban akibat terjatuh dari pokok di Phuket dan Nakhon Si Thammarat,” katanya dalam satu kenyataan.
Chayapol berkata, 13 wilayah dilanda banjir kilat termasuk Nan, Lampang, Uttaradit, Phayao, Chiang Mai, Chiang Rai, Phrae dan Phitsanulok di utara, dan Loei, Udon Thani, Nong Bua Lamphu, Nakhon Phanom dan Kalasin di timur laut.
Beliau menambah, ribut tropika Sinlaku turut menyebabkan ribut dan banjir kilat di dua wilayah di timur laut (Amnat Charoen dan Surin) dan sembilan wilayah di selatan Thailand – Surat Thani, Phang Nga, Ranong, Nakhon Si Thammarat, Chumphon, Phuket, Krabi, Songkhla dan Trang.
Chayapol berkata, ribut yang dicetuskan Sinlaku juga menyebabkan feri membawa 12 anak kapal dan empat pemandu, terbalik berhampiran pulau pelancongan Koh Samui di wilayah Surat Thani pada Sabtu.
Sehingga kini, 11 berjaya diselamatkan dan dua mayat dijumpai sementara tiga lagi masih hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat tiga termasuk dua anak kapal dan seorang penumpang yang hilang dari feri yang karam masih berjalan,” katanya.
Chayapol menambah keadaan banjir di daerah-daerah yang terjejas semakin pulih dan air banjir telah surut, manakala tanah runtuh dilaporkan berlaku di Nan dan Mae Hong Son di utara Thailand.- Bernama