DALAT: Polis Daerah Mukah melupuskan sejumlah 1,375 karton minuman keras pelbagai jenis di tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) di sini, sekitar 50 kilometer dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah , Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias, ia adalah hasil rampasan yang dibuat pada hujung tahun lalu.
“Rampasan minuman keras tersebut dilakukan di Jalan Mukah-Selangau Kawasan Bukit Ambun pada 25 November tahun lalu.
“Jumlah yang dilupus pada hari ini Jumaat) ialah 1375 karton minuman keras pelbagai jenis yang bernilai sekitarRM85,000,” katanya selepas mendapat arahan pelupusan dari Mahkamah Majistret Mukah, baru-baru ini.
“Ini adalah pelupusan barang rampasan tidak bercukai di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 IPD Mukah.
“Arahan untuk melupuskan barang rampasan ini diperolehi dari Majistret Mahkamah Mukah pada 14 Jun lalu setelah kes siasatan terhadap kes rampasan itu selesai dan kita diarahkan untuk memusnahkan semua rampasan itu,” ujar Rizal yang turut hadir menyaksikan pelupusan itu yang turut disertai wakil dari Pejabat Daerah Mukah dan MDDM.
Beliau menegaskan bahawa operasi membanteras penyeludupan minuman keras, rokok dan sebagainya adalah rutin bagi pihak mereka.
“Pihak kita akan terus melakukan operasi untuk mengekang kesalahan melibatkan barang seludup seperti minuman keras, rokok dan sebagainya.
“Justeru, kita berharap dan mengalukan kerjasama masyarakat setempat dalam menyalurkan maklumakt tentang aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” ujarnya sambil memberitahu tiada tapak pelupusan yang diwartakan di Daerah Mukah.