PETRA JAYA: Sebanyak 1,265 sekolah rendah telah dibekalkan komputer Raspberry Pi dalam usaha meningkatkan integriti teknologi digital dalam pendidikan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad berkata, ini merupakan sumbangan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dalam menghadapi cabaran dari segi capaian internet.
“Sehubungan itu, latihan turut diberikan kepada guru-guru yang terlibat.
“Oleh itu, usaha ini dapat mengatasi masalah capaian internet di sekolah-sekolah rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024 di Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak di sini, hari ini.
Raspberry Pi ialah komputer bersaiz kad kredit berkos rendah yang disambungkan ke monitor komputer.
Ia adalah peranti berkebolehan yang membolehkan pelajar meneroka sistem pengkomputeran dan mempelajari cara pengaturcaraan dan pengekodan komputer dalam bahasa seperti Scratch dan Python.
Dr Azhar berkata pendidikan merupakan kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan di negeri ini.
“Dalam hal ini, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak komited untuk memastikan setiap pelajar di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tinggi,” katanya.
Mengenai Anugerah Pendidikan Sarawak 2024, bekas Pengarah JPN Sarawak Dr Norisah Suhaili menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2024 manakala Jaul Bunyau menerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis sama, seramai 22 orang guru di Sarawak juga turut menerima Anugerah Pendidikan Sarawak 2024.
Oleh Mohd Neenatul Aizal