
KOTA SAMARAHAN: Seramai 120 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) termasuk anggota Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Kor Siswa menyertai Program Keselamatan di Air ‘Jom Belajar Berenang’ sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran keselamatan dalam kalangan generasi muda.
Program anjuran Pejabat Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dengan kerjasama UNIMAS itu melabuhkan tirainya dengan jayanya menerusi majlis Perasmian Penangguhan yang berlangsung di Kolam Renang Unimas.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Dr. Al-Khalid Othman sebagai simbolik penamat bagi fasa pertama program tersebut.
Secara keseluruhan, program ini menerima sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 120 peserta terdiri daripada pelajar Unimas termasuk PBB Kor Siswa, sekali gus memperlihatkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan air.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan teknik asas berenang serta langkah keselamatan ketika berhadapan situasi kecemasan di air, dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada JBPM.

Penganjur dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap komitmen serta kerjasama erat antara JBPM Sarawak dan Unimas dalam menjayakan program berimpak tinggi itu.
Menurutnya, pendekatan kolaboratif tersebut mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat khususnya dalam aspek pendidikan keselamatan dan pencegahan.
Program ‘Jom Belajar Berenang’ bukan sekadar aktiviti riadah, malah merupakan inisiatif strategik JBPM dalam memperkukuh usaha pencegahan insiden berkaitan air.
Pendekatan pendidikan awal seperti ini dilihat lebih berkesan dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa berbanding tindakan selepas berlakunya kejadian.
Melalui program seumpama itu, JBPM turut berpeluang mendekati masyarakat secara langsung sambil menyampaikan ilmu keselamatan air dengan lebih menyeluruh dan praktikal.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Zon 2 JBPM Sarawak, Gawai John.
Susulan kejayaan penganjuran fasa pertama, program tersebut dijangka diteruskan ke fasa kedua pada Julai depan dengan sasaran memperluaskan penyertaan serta manfaat kepada komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman