SARATOK: Sebanyak 120 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Daerah Saratok menerima peruntukan dari Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi Fasa 1 berjumlah RM11.8 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata ia merupakan satu sejarah apabila menjadi daerah di Sarawak yang menerima peruntukan terbesar itu.
“Saya berpesan agar peruntukan yang telah diagihkan kepada JKKK ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya agar ia dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dan penduduk kawasan bidang kuasa JKKK masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan replika cek SejaTi MADANI Fasa 1 di Kampung Kaba dekat sini hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom dan turut dihadiri oleh ADUN Krian, Friday Belik.
Mohamad Duri mengucapkan tahniah kepada Kampung Kaba kerana merupakan kampung pertama yang diluluskan Program SejaTi MADANI dengan pembelian mesin jengkaut bagi tujuan penyewaan bernilai RM100,000.
“Program ini adalah inisiatif baharu Kerajaan MADANI bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
“Program ini bertujuan mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi. Selepas mereka mendapat dana dan dilaksanakan, contohnya aktiviti ekonomi berasaskan industri pelancongan komuniti atau aktiviti ekonomi berasaskan kraf tangan dan hasil pertanian.
“Kita tidak mahu ia berakhir setakat itu sahaja tetapi harus dikembangkan menjadi aktiviti perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, SejaTi MADANI yang dilancarkan pada 25 Mac lalu merupakan satu bentuk program bantuan kerajaan bertujuan mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.
Lima sektor menjadi tumpuan dalam program SejaTi MADANI iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Daerah Saratok merupakan daerah ketiga berlangsungnya majlis penyerahan cek selepas Daerah Simunjan dan Daerah Meradong.
Oleh ADI SAFARMAN