BINTANGOR: Seramai 12 penghuni tinggal sehelai sepinggang setelah tiga rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Muara Bunut, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.21 pagi.
“Bertindak atas panggilan kecemasan, saya bersama sepasukan bomba bergegas ke lokasi kebakaran.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal (kayu) sedang marak.
“Lapan buah rumah lagi berjaya diselamatkan dari kebakaran,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan difahamkan kesemua penghuni tiada di rumah semasa kejadian.
“Anggota bomba bertindak membentang dua aliran hos hantaran 200 kaki dua pancutan sumber air terbuka dari kolam ikan dan pam angkut untuk membuat pemadaman sehingga api dipadam sepenuhnya.
“Tiga rumah musnah 100 peratus akibat kebakaran tersebut.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh lebih kurang satu jam 50 minit,” katanya.
Operasi memadamkan kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 11.31 pagi.
Oleh Earl Anek
Gambar
MUSNAH…..Kebakaran memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Muara Bunut, pagi tadi. Foto BBP Bintangor