KUCHING: Perjanjian Kolektif (CA) antara Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Sarawak (SBEU) dan Persatuan Bank Komersial Sarawak (SCBA) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,100 kakitangan bank di bawah gred perkeranian dan bukan perkeranian di seluruh Sarawak.
Menerusi perjanjian kolektif tersebut, kakitangan bank di bawah gred perkeranian dan bukan perkeranian di negeri ini akan menerima pelbagai manfaat baharu termasuk pelarasan gaji sembilan peratus dan sebagainya.
Perjanjian Kolektif SCBA-SBEU ke-17 bagi tempoh 2024 sehingga 2026 itu ditandatangani oleh wakil SBEU iaitu Presidennya, Fabian Oliver Patrick Munan dan Setiausaha Agung Joseph Kong, manakala SCBA diwakili Presiden Maureen Paril dan Setiausaha Elvy Nurdalila Amira.
Majlis menandatangani CA itu telah disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Presiden Ganti Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaya (Alternate President of MCBA) (MCBA), Dato Brian Jit Singh.
Bercakap semasa majlis tersebut, Brian berkata dengan pelarasan gaji sebanyak sembilan peratus secara keseluruhan untuk pekerja di bawah kategori Jualan dan Perkhidmatan 1 (SS1), 2 (SS2) dan 3 (SS3).
”Pelarasan ini juga digabungkan dengan faedah lain sebagai bukti pengiktirafan terhadap kerja keras dan dedikasi pekerja ini dalam menyokong operasi bank.
”Selain pelarasan gaji, CA juga buat kali pertama akan melihat kemasukan bayaran Bantuan Perayaan tahunan sebanyak RM1,800 untuk pekerja meraikan perayaan masing-masing,” katanya dalam majlis tersebut di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya SCBA turut bersetuju untuk memberikan bayaran ex-gratia satu kali sebanyak RM2,000 kepada pekerja dalam skop perwakilan SBEU.
Katanya, pembayaran itu mencerminkan semangat kerjasama dan saling menghormati yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak sepanjang proses rundingan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA