ANKARA: Sekurang-kurangnya 11 wartawan terbunuh dalam serangan udara besar-besaran tentera Israel di Semenanjung Gaza, kata Committee to Protect Journalists (CPJ) dalam satu kenyataan, semalam.
Antara yang terkorban dalam serangan Israel di selatan Lubnan semalam ialah seorang juruvideo Reuters.
Selain itu, dua lagi wartawan televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Doha cedera dalam serangan itu.
“Dalam tujuh hari pertama pertempuran, sekurang-kurangnya 11 wartawan terbunuh, dua hilang dan dua lagi cedera.
“Pada 13 Oktober, seorang wartawan yang berpangkalan di Beirut terbunuh semasa serangan tentera Israel di selatan Lubnan,” kata CPR lapor Agensi Anadolu.
CPJ berkata, wartawan di Gaza berdepan risiko tinggi semasa membuat liputan mengenai konflik di tengah-tengah serangan udara yang berterusan.
“CPJ menekankan bahawa wartawan adalah orang awam yang melakukan kerja penting semasa krisis dan tidak boleh menjadi sasaran pihak yang bertelagah.
“Wartawan membuat pengorbanan besar dengan membuat liputan konflik di seluruh rantau ini. Langkah-langkah untuk memastikan keselamatan mereka mesti diambil oleh semua pihak untuk menghentikan angka kematian yang besar ini,” kata penyelaras program Asia Barat dan Afrika Utara CPJ, Sherif Mansour. – Bernama – Anadolu