11 positif syabu ditahan dalam Ops Perdana AADK di Bekenu, Niah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BEKENU: Seramai 11 individu didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) berjaya ditangkap dalam Ops Perdana AADK Bil. 3/2026 yang dijalankan di Bekenu dan Niah pada 16 Julai lalu.

Operasi itu dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dengan penglibatan sembilan anggota Penguatkuasaan dan Keselamatan.

Pegawai AADK Daerah Miri, Mazlan Jikran ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini berkata, sepanjang operasi berkenaan, seramai 17 lelaki telah diperiksa di beberapa lokasi sekitar Bekenu dan Niah yang dikenal pasti menjadi tumpuan individu disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

TAHAN… Anggota AADK Miri ketika melakukan serbuan dan berjaya menahan beberapa individu yang didapati positif dadah di Bekenu.

“Hasil saringan air kencing mendapati 11 daripada mereka positif methamphetamine atau syabu, manakala enam lagi didapati negatif.

“Operasi tersebut memberi tumpuan kepada Orang Yang Disyaki Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (OYDS), individu yang melarikan diri daripada ikat jamin serta Orang Kena Perintah di bawah Perintah Pengawasan RPDK yang gagal mematuhi syarat ditetapkan,” jelasnya.

Utusan Sarawak difahamkan bahawa pihak AADK turut membakar dan musnahkan sebuah pondok di Bekenu yang dipercayai tempat individu yang didapati positif dadah dalam menjalankan aktiviti penyalahgunaan dadah.

KEJAR… Anggota AADK ketika melakukan serbuan dan berlaku satu kejadian berkejaran berusaha menangkap individu yang didapati positif dadah di sekitar pekan Niah.

Sementara itu, di pekan Niah pihak AADK turut melakukan serbuan dan berlaku satu kejadian berkejaran berusaha menangkap individu yang didapati positif dadah.

AADK memaklumkan operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan individu yang berada di bawah pengawasan mematuhi perintah yang dikenakan, sekali gus mewujudkan persekitaran masyarakat yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman dadah.

Oleh Adum Liu