
KUCHING: Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui JPJ Kuching telah melaksanakan penguatkuasaan secara rondaan dan pemantauan menerusi Ops Motosikal serta Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di sekitar kawasan bandar Kuching, semalam.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan serta undang-undang jalan raya sentiasa dipatuhi, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan semua pengguna.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 105 kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa JPJ.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan, antaranya lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, kenderaan tanpa perlindungan insurans yang sah serta pelbagai kesalahan lain yang melibatkan aspek teknikal kenderaan.
Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut JPJ Sarawak, operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan secara berterusan dan berfokus, khususnya terhadap motosikal dan kenderaan perdagangan yang dikenal pasti berisiko tinggi melakukan pelanggaran peraturan.

Langkah berkenaan juga bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab serta memastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi spesifikasi ditetapkan.
JPJ Sarawak menegaskan komitmen berterusan jabatan itu dalam memperkukuh penguatkuasaan demi menjamin keselamatan jalan raya serta kesejahteraan pengguna di negeri ini.