SARIKEI: Sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kawasan Parlimen Sarikei menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Menurut Huang, peruntukan tersebut disalurkan kepada NGO yang terlibat dalam pelbagai bidang termasuk kebajikan, sukan, rekreasi, keselamatan, dan kemasyarakatan.
“Peruntukan ini bertujuan menyokong pelaksanaan program dan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
“Kita mesti terus bersatu dan bekerjasama dalam usaha membina Sarikei yang lebih maju demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Semangat kerjasama antara semua pihak amat penting bagi merealisasikan agenda pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan peruntukan yang berlangsung di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sarikei, baru-baru ini.
Antara NGO yang menerima peruntukan tersebut termasuk Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan PKMB Sarikei, Kelab Memanah Tradisional PERKASA, Kelab Sosial dan Sukan (LANDAS), Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang, Kelab Sukan Rekreasi Goyang Sarikei, Lim Tang Soo Do Club, PPWS Perkumpulan Jalan Getah Sarikei, Persatuan Rekreasi Angkatan Pertahanan Awam Sarikei (APM Sarikei), Tabung Kelab Polis Sarikei, dan Urusetia Saudara Kita Sarikei.
Huang turut mengingatkan agar semua penerima menggunakan peruntukan secara bertanggungjawab dan telus bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak positif kepada masyarakat.
Katanya lagi, peruntukan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga satu amanah untuk memperkasakan peranan NGO dalam mengukuhkan perpaduan dan memacu pembangunan sosial.
Huang pada masa sama, turut merakamkan penghargaan atas komitmen serta sokongan berterusan daripada pemimpin NGO yang terlibat, sambil berharap agar jaringan kerjasama ini terus diperkukuh dalam menjayakan pembangunan Sarikei secara inklusif dan mampan.