Wanita berputih mata, RM11,450 lesap

KETUA POLIS DAERAH SIBU, ACP Stanley Jonathan Ringgit.

AKUN GIMAN

SIBU:Wanita pelayan bar terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian RM11,450 akibat ditipu sendikit penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai ‘Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ‘.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian bermula pada 21 Mei lalu apabila pengadu,28, menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai LHDN’.

Menurutnya, menerusi perbualan telefon itu wanita tersebut telah memaklumkan kepada pengadu mempunyai tunggakan cukai sebuah syarikat di Kuantan, Pahang berjumlah RM138,600.90.

“Pengadu kemudiannya diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melalui nombor telefon yang diberi oleh suspek.

“Panggilan pengadu dijawab oleh seorang Sarjan (‘Sarjan Idi’)  yang mana dia membuat laporan mengenai kad pengenalannya digunakan oleh seseorang untuk membuka sebuah syarikat di Semenanjung Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pengadu diminta untuk menghubungi Bank Negara kononya untuk menggelakkan namanya diisytihar bankrup.

“Pengadu bercakap dengan seorang ‘pegawai ‘Bank Negara’ yang dikenali sebagai ‘Justine Filip’.

“Selepas membuat semakan, Justin mengesahkan nama pengadu terlibat dalam tunggakan cukai tersebut,” ujarnya.

Katanya, pengadu diminta untuk menyerahkan nama pengguna dan kata laluan akaun bank miliknya untuk tujuan melindungi dan membersihkan namanya.

“Pada hari yang sama, pengadu mendedahkan nama pengguna dan kata laluan termasuk dua nombor TAC (Kod Kebenaran Transaksi) kepada Justine bagi tujuan semakan lanjut,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, mangsa menerima mesej dari sebuah bank menyatakan terdapat dua transaksi pengeluaran wang dari akaun bank pengadu yang dipindahkan ke akaun lain.

“Pengadu yang merasa curiga cuba menghubungi Sarjan Idi namun panggilan itu tidak dijawab.

“Pengadu kemudian membuat membuat laporan polis berhubung kes tersebut pada Khamis lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerena menipu,” tegasnya.