
SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili akan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 16 Februari ini sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, selepas hampir tiga tahun 10 bulan menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Beliau memberitahu, sepanjang tempoh perkhidmatan di Sibu, pelbagai cabaran berjaya ditangani hasil komitmen tinggi pegawai dan anggota, khususnya dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
Menurutnya, pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan menurunkan indeks jenayah sebanyak 36.4 peratus pada 2025.
“Dalam ucapan perhimpunan tadi, saya telah jelaskan bahawa saya yakin dengan kemampuan pegawai dan anggota, khususnya di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu untuk terus menjalankan tugas dengan baik, terutama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Penurunan indeks jenayah sebanyak 36.4 peratus ini membuktikan komitmen, pengetahuan, integriti dan kerjasama erat dalam kalangan warga IPD Sibu,” katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan Februari Ketua Polis Daerah Sibu di Padang Kawad IPD di sini, pagi tadi.

Mengulas mengenai cabaran jenayah sepanjang perkhidmatannya di sini, beliau memberitahu, pengalaman bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur, Johor dan Bukit Aman banyak membantu dalam mengaplikasikan pengetahuan serta kepakaran yang dimiliki.
“Dengan adanya kesepakatan dan kebersamaan semua warga IPD Sibu, kami mampu melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya.
Zulkipli turut melahirkan rasa puas hati terhadap langkah yang diambil dalam menangani isu jenayah dan sosial di daerah ini.
“Perkara paling penting ialah kerjasama dengan masyarakat, komitmen tinggi terhadap tugas serta meletakkan integriti sebagai keutamaan. Seperti tema polis sendiri, polis dan masyarakat berpisah tiada.
“Sinergi antara agensi di Sibu amat membantu dalam memastikan isu jenayah dan sosial dapat ditangani secara berkesan,” tambahnya.
Beliau memaklumkan esok merupakan hari terakhirnya di IPD Sibu dan merakamkan penghargaan kepada semua rakan jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
Sementara itu, mengulas mengenai beberapa kes terkini, beliau berkata siasatan sedang dijalankan berhubung kes lemas melibatkan tiga kanak-kanak di Sibu Jaya.
“Kita menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk laporan kematian mengejut bagi memastikan semua aspek diteliti sebelum siasatan dilengkapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya lagi, siasatan turut dijalankan berhubung kemalangan melibatkan sebuah lori simen di Jalan Deshon.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat kegagalan brek lori terbabit. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting dan Temenggong Stanley Geramong Bandar.
Oleh Akun Giman