Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Zon merah banjir: Penduduk Serian ambil langkah berjaga-jaga
  • TEMPATAN

Zon merah banjir: Penduduk Serian ambil langkah berjaga-jaga

Utusan Sarawak 20 hours ago
PEMANTAUAN dron APM Sarawak di lokasi Kampung Hilir dan Kampung Hulu Serian mendapati keadaan masih dilanda banjir, hari ini. Foto APM Sarawak

SERIAN: Penduduk sekitar Daerah Serian kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan paras air menunjukkan trend peningkatan sejak semalam, dengan beberapa kampung di kawasan itu diklasifikasikan sebagai zon merah bencana banjir.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk sedia berpindah pada bila-bila masa sekiranya keadaan bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan.

Setiausaha Kampung Tebakang Bidayuh Micheal Linjet, 59, berkata kenaikan paras air yang mendadak sejak petang semalam memaksa tujuh keluarga melibatkan 15 mangsa di kampung berkenaan berpindah.

Beliau berkata bagaimanapun pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) hanya bermula pagi ini atas faktor keselamatan.

“Keadaan gelap dan paras air yang naik dengan cepat menyebabkan kami tidak berani melakukan pemindahan lebih awal selaras nasihat Angkatan Pertahanan Awam (APM). Kami menunggu arahan rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan kerjasama agensi berkaitan sebelum pemindahan dilaksanakan pagi ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Mengulas persediaan menghadapi banjir, Micheal berkata pihaknya telah melaksanakan simulasi pengurusan banjir sebelum bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) memandangkan Kampung Tebakang Bidayuh dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.

PEMANTAUAN dron APM Sarawak di lokasi Kampung Hilir dan Kampung Hulu Serian mendapati keadaan masih dilanda banjir, hari ini. Foto APM Sarawak

Beliau berkata 18 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk penduduk yang tampil secara sukarela telah digerakkan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar, termasuk bantuan aset seperti penggunaan perahu persendirian.

“Mereka turut digerakkan bagi kerja pemantauan, kawalan keselamatan dan persediaan menghadapi kemungkinan pemindahan secara besar-besaran sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.

Bendahari kampung, Richard Ray Riggu, 57, berkata kebanyakan penduduk telah mula memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi sejak bulan lepas sebagai langkah awal menghadapi banjir.

“Sekitar 2 petang semalam, rumah ibu saya mula dimasuki air, awalnya setakat paras betis sebelum meningkat sehingga paras bahu dalam tempoh kira-kira dua jam, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk,” katanya.

“Jalan utama ke kampung juga telah terputus, menyebabkan penduduk terperangkap di kawasan tinggi dan perlu menggunakan bot sekiranya mahu keluar untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, George Ibau, 71, yang merupakan anggota Biro Keselamatan kampung berkenaan berkata pihaknya telah bersiap sedia sejak semalam dan mula memindahkan mangsa banjir pagi tadi dengan jumlah mangsa dijangka meningkat sebelah petang berikutan trend air yang meningkat serta hujan berterusan.

“Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan memandangkan kawasan ini pernah dilaporkan kelibat buaya, namun setakat ini keadaan terkawal dan tiada sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Menurut JPBN Sarawak, setakat 4.00 petang, sebanyak 40 PPS telah dibuka melibatkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri yang menempatkan 3,018 mangsa daripada 888 keluarga.

-Bernama

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Kebajikan mangsa banjir di PPS dijaga rapi, penduduk rasa lebih selesa
Next: Eksklusif: Remaja rayu bantuan orang ramai jejaki ayah kandung untuk wali perkahwinan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.