
KUALA LUMPUR: Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan bersubahat dengan suaminya memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapat kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Peguam Datuk Seri K. Kumaraendran, yang mewakili Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berkata representasi itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada hujung bulan lepas.
“Kes dihadapi Zizie ditetapkan untuk pengurusan kes pada 16 Januari ini,” kata peguam itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk Zizie Izette memberikan keterangan membela diri atas tiga pertuduhan bersubahat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, namun prosiding itu ditangguhkan kepada Jumaat ini.
Pada 2 September tahun lepas, Bung Moktar mula memberikan keterangan membela diri atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan amaun sama bagi tujuan serupa.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini meninggal dunia pada 5 Disember lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, yang kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.
Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-Bernama